Pengalaman dan Pemerhatian
Tiga minggu sebelum ini, saya banyak menghabiskan masa untuk membaca buku-buku motivasi (buku -buku yang tak sempat nak baca), menghadiri seminar jati diri dan menonton video-video dari pakar motivasi seperti Anthony Robbins, Joe Vitale dan Stephen Pierce.
Saya juga memberi ruang kepada diri sendiri untuk meneliti usaha yang saya telah lakukan untuk membina perniagaan internet saya sehingga kini.
Dengan keadaan perkembangan usahawan-usahawan internet dan juga pelbagai produk-produk baru yang tumbuh bagaikan cendawan setiap minggu, saya kini perlu lebih berhati-hati sama ada dalam berbelanja atau menimba ilmu ( information overload)
Pengalaman benar dari saya
Saya mengakui saya pernah menghabiskan banyak wang untuk membeli produk-produk di pasaran. Tetapi yang menyedihkan saya ialah, hasilnya tidak seperti yang saya harapkan malah ada yang tidak memberikan hasil.
Namun saya tidak ingin menyalahkan sesiapa tetapi saya hanya akan menyalahkan diri saya. Ya, semuanya berlaku kerana tindakan saya dan saya harus bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku sama ada yang baik mahupun buruk.
Dari saat itu saya mulai sedar untuk berbelanja hanya untuk sesuatu yang benar-benar dapat menolong saya untuk mencapai target saya. Alhamdulilah, dengan tindakan itu saya rasa lebih berpuas hati dan dapat menghasilkan sesuatu yang saya inginkan.
Nasihat saya adalah elakkan diri anda daripada membeli produk-produk lain yang tidak dapat membantu untuk mencapai target anda. Dengan cara ini, anda akan menjadi lebih fokus dengan apa yang anda lakukan dan anda juga akan berbelanja dengan bijak.
Hasil pemerhatian saya
Satu trend yang saya lihat sekarang adalah ramai yang berlumba-lumba untuk menghasilkan produk yang baik iaitu boleh membantu orang ramai untuk menjana wang. Walaupun begitu, masih banyak juga cerita dan feedback yang kurang enak untuk didengari.
Setelah mendapat produk tersebut, rata-rata pembelinya akan mengeluh kerana produk itu sama sahaja dengan produk-produk yang lain. Dengan perkataan mudahnya produk mereka kebanyakkannya ‘crap’ . ‘Keluhan-keluhan’ ini pula saya lihat melalui forum-forum dari luar negara yang saya sertai.
Tetapi tidak semua produk dihasilkan sebegitu. Masih ada juga yang ‘walk the talk’ iaitu usahawan-usahawan yang benar-benar mempunyai kredibiliti dalam bidang tertentu. Saya akui mereka memang pakar dan tahu apa yang mereka lakukan untuk pelanggan mereka.
Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi golongan ini. Anda perlu sentiasa berusaha untuk memuaskan hati para pelanggan dengan mutu produk dan perkhidmatan.
Pada pandangan anda bagaimana agaknya cara newbie untuk bersaing dengan mereka yang sudah mempunyai kredibiliti ini? Oh, itu anda kena tanya pada usahawan-usahawan yang lebih arif tentangnya.
Satu rahsia yang saya dapat lihat iaitu bagaimana untuk memperolehi kejayaan dengan cepat adalah dengan meningkatkan nilai yang ada pada diri kita. Memang menjadi lumrah manusia, barang siapa yang memiliki lebih banyak ilmu akan lebih mudah dihormati dan dipercayai kemampuan atau kepakarannya.
Dalam perniagaan pula, jika anda ingin mendapat banyak keuntungan, maka anda perlu berusaha membina kepercayaan bakal pelanggan anda terhadap anda terlebih dahulu. Lakukan sesuatu supaya mereka percaya kepada anda dan ilmu yang anda ada. Ini tentunya akan mengambil masa tetapi insyallah jika anda sabar dan istiqamah anda akan dapat menikmati hasil yang sangat lumayan.
Perlu diingat juga. Pastikan anda kotakan setiap janji dan jaminan yang anda berikan kepada pelanggan samada melalui surat jualan mahupun emel ‘follow-up’ yang anda hantar kepada pelanggan anda. Jangan cuba untuk mempermainkan mereka kerana natijahnya anda yang akan merana selama-lamanya.
Akhir kata untuk post kali ini ;
Untuk buat jahat amatlah mudah tetapi untuk membina kepercayaan seseorang, ia amatlah sukar dan memerlukan masa yang sangat lama untuk mendapatkannya
Apa pendapat anda tentang artikel di atas?

