Kejayaan…

KEJAYAAN bermaksud banyak perkara yang POSITIF DAN INDAH. Kejayaan bermaksud keuntungan peribadi seperti rumah yang cantik, peluang untuk bercuti, membeli barangan baru, tahap kewangan yang kukuh serta berupaya memberikan kemudahan yang maksimum untuk diri dan juga anak-anak anda (jika anda sudah berkeluarga).

Kejayaan bermaksud untuk dikagumi. Kejayaan juga bermaksud kebebasan - bebas dari kebimbangan, ketakutan dan kekecewaan mahupun kegagalan.

Kejayaan bermaksud hormat diri, sentiasa menemui kebahagaian dan kepuasan sebenar dari kehidupan dan berupaya melakukan yang terbaik kepada orang yang sentiasa mengharap pada anda.

Kejayaan bermaksud kemenangan.

Kejayaan –> Pencapaian - adalah cita-cita kehidupan!

Setiap manusia inginkan kejayaan. Setiap orang mahukan yang terbaik dari kehidupan mereka. Tidak ada sesiapa mahukan kesukaran dan hidup dalam kesederhanaan. Tidak ada sesiapa mahu berada di kelas kedua dan mengharungi hidup itu sepanjang hayat.

Ramai yang masih ragu-ragu bahawa formula utama dalam usaha mengecapi kejayaan adalah rasa KEPERCAYAAN (belief). Adakah anda percaya anda boleh berjaya? Adakah anda betul-betul percaya anda mampu lakukan? Sekiranya ada sejuta rintangan, sanggup kah anda menempuhinya?

Kita sering disuap dengan cerita-cerita kejayaan. Memang kita sangat suka melihat kejayaan seseorang dalam pelbagai aspek. Tapi amat jarang kita mendengar bagaimana seseorang itu berjaya. Apakah strategi yang mereka gunakan, bentuk pemikiran, cara menangani masalah dan bermacam-macam lagi kunci yang membantu mereka untuk berjaya.

Apa yang kita lihat hanya, perubahan keadaan iaitu sebelum berjaya dan juga selepas berjaya. Sebenarnya, formula kejayaan terletak pada perkara-perkara yang berada di tengah-tengah - sebelum berjaya dan selepas berjaya. Kenapa?

Kejayaan itu bukan satu destinasi tetapi adalah sesuatu perjalanan. Perjalanan yang anda akan membuatkan anda berasa puas selepas meningkatkan nilai dalam diri anda. Apabila anda berjaya, anda akan mahu lebih berjaya dari peringkat anda sekarang. Sebab itulah kejayaan adalah satu perjalanan dan bukannya satu destinasi.

Apa pendapat anda tentang artikel di atas?