3 Soalan dan 3 Jawapan Saya

Seperti yang saya janjikan semalam, ini merupakan jawapan saya terhadap satu komen pada post yang lepas.

Bagaimana seseorang itu berfikir untuk berjaya?

Soalan ini sebenarnya agak subjektif. Setiap manusia mempunyai cara berfikir yang dipengaruhi oleh kepercayaan yang ada di dalam diri mereka. Kepercayaan pula dibina sejak kita kecil sehingga diri kita sekarang. Terlalu banyak perkara yang boleh mempengaruhi kepercayaan seseorang seperti persekitaran, institusi keluarga, rakan-rakan atau keadaan di tempat kerja.

Oleh yang demikian, apabila kita ingin berfikir seperti orang-orang yang berjaya, anda seharusnya berusaha menukar kepercayaan anda terlebih dahulu. Emosi dan pemikiran sangat berkait rapat. Seperti yang diceritakan melalui The Secret, cara paling mudah untuk mengawal apa yang kita fikir adalah dengan mengawal emosi.

Dengan mengawal emosi, anda sudah dapat menentukan apa yang anda ingin fikirkan. Jika anda inginkan wang yang banyak, ketenangan hidup dan rasa kasih sayang, anda perlu melatih emosi anda untuk merasai apa yang ‘bakal’ anda rasa itu. Alami perasaan itu, dan selaminya dalam diri anda.

Sebagai contoh, jika anda inginkan RM1000 tambahan di dalam akaun bank anda minggu hadapan, cuba bayangkan apa perasaan anda jika benar-benar wang itu ada dalam akaun anda. Tentu anda sudah dapat merasai ‘nikmat’ dengan adanya wang itu. Mungkin anda nak membeli sesuatu yang anda sudah lama inginkan, belanja kawan-kawan atau membuat sumbangan derma kepada mereka yang memerlukan. Dengan mem-visualisasikan keadaan-keadaan itu, minda anda akan mula mencari idea atau peluang bagaimana untuk benar-benar merealisasikan perasaan anda di dunia nyata. Mungkin timbul idea bagaimana nak jana pendapatan sampingan, bagaimana nak melariskan produk perniagaan dan sebagainya.

Kenapa seseorang ingin berjaya dalam sekelip mata?

Ini merupakan satu sifat yang saya rasa ramai yang melalui dan merasainya. Ia tidak menjadi suatu kesalahan untuk berjaya. Tetapi hukum alam sudah menetapkan, " anda perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu". Maksudnya, tiada istilah apa yang anda inginkan tiba-tiba bergolek di depan anda.

Mungkin anda pernah melihat seseorang yang menang loteri atau tiba-tiba mendapat hadiah RM1 juta. Apa yang berlaku pada mereka selepas mereka mendapat hadiah dan wang banyak sebegitu? Majoriti, mereka akan kembali kepada keadaan asal di mana sebelum mereka memperolehi nikmat itu. Kenapa?

Sebab, minda mereka masih belum "di-program" untuk berada di dalam zon itu. Apabila minda mereka belum bersedia, maka mereka akan membuat keputusan yang tidak tepat kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dan ilmu yang diperlukan pada waktu itu.

Kejayaan merupakan sesuatu proses. Dalam setiap usaha yang anda lakukan setiap hari, anda akan mempelajari sesuatu sama ada banyak mahupun sedikit. Anda sedar atau tidak, anda sebenarnya belajar sesuatu setiap hari jika anda meneliti dan menganalisis segala tindakan anda.

Menjadi orang berjaya bukanlah satu ‘talent’ atau nasib baik. Saya akui kadang-kadang memang ada juga dua unsur itu memainkan peranan. Tetapi, secara realitinya, orang yang berjaya ialah orang yang tahu apa yang mereka mahu dan komited berusaha sehingga mereka dapat apa yang mereka idamkan.

Bagaimana rasa seseorang bila berjaya?

Ini pun satu soalan yang sangat subjektif. Berjaya bagi saya mungkin berbeza dengan berjaya bagi anda. Setiap orang mempunyai kepercayaan kan? Betul ke, orang-orang yang berkereta mewah, banglo bertingkat-tingkat itu kaya dan berjaya? Itu terpulang kepada anda untuk memberikan maksud kepadanya.

Saya ingin ceritakan satu pengalaman saya ketika saya datang ke KL untuk satu urusan kerja. Ketika itu saya dalam perjalanan nak pulang ke Sarawak. Jadi saya menahan sebuah teksi untuk pergi ke KLIA. Sebaik sahaja saya membuka pintu teksi, pemandu teksi itu seraya tersenyum dan bertanya ke mana destinasi saya. Saya pun kata saya nak ke KLIA dan beliau setuju untuk hantar saya ke sana. Pada amatan saya, pemandu teksi itu berumur dalam lingkungan 60-an.

Dalam perjalanan, pemandu teksi itu sangat ramah dengan saya. Kami memang tak henti bercakap tentang pelbagai perkara semasa. Tetapi, yang menarik perhatian saya terhadap pakcik ini ialah, beliau sangat gembira dengan apa yang beliau lakukan. Saya bertanya, " pakcik, boleh saya tanya kenapa pakcik masih lagi memandu teksi? Kalau ikutkan, saya rasa pakcik dah kena mula berehat di rumah bermain dengan cucu-cucu pakcik..".

Pakcik itu tersenyum dan menjawab " Nak, pakcik sebenarnya suka pandu teksi ni. Pakcik boleh jumpa macam-macam orang dan lihat pelbagai karenah manusia. Itu merupakan salah satu kepuasan yang pakcik dapat. Bagi pakcik, dengan memandu teksi ini, pakcik rasa seronok dan gembira".

Pakcik itu menyambung lagi, " Mungkin pada orang lain memandu teksi ini tiada masa depan atau dipandang serong, tetapi bagi pakcik ia juga satu sumber pendapatan yang halal. Dengan memandu teksi ini pakcik juga berjaya besarkan anak-anak pakcik sehingga masuk universiti dan mereka sudah menjadi orang yang berguna. Tak ramai orang yang paham mengenai ini, nak..Pakcik rasa syukur dengan apa yang pakcik ada dan paling penting pakcik sudah rasa gembira dengan apa yang pakcik buat".

Saya pun berfikir mengenai setiap ayat yang pakcik itu luahkan. Memang benar, kegembiraan dan kebahagiaan adalah sesuatu yang tidak dapat dibeli. Saya akui wang itu memanglah penting. Tetapi wang hanyalah alat untuk membantu anda. Carilah maksud sebenar yang anda inginkan dalam hidup anda. Apa yang membuatkan anda puas dan tidak bosan melakukannya.

One Response to “3 Soalan dan 3 Jawapan Saya”

  1. samsi norlina on June 19th, 2008 11:09 am

    thanks for your answer…by the way i’m quit suprise…i’m very lucky rite know…baca blok u dapat tenangkan hati i and make me move futher…sometimes we must think before we decide anything…hope you’ll be success for your life…

Apa pendapat anda tentang artikel di atas?