Kesilapan Dalam Menentukan Matlamat
Sama ada anda berniaga sendiri atau bekerja dengan orang lain, setiap pekerjaan memerlukan sekurang-kurangnya satu matlamat untuk dicapai.
Alangkah peliknya jika anda membuat suatu pekerjaan tanpa mengetahui apakah matlamat atau tujuan anda melakukan sesuatu pekerjaan itu.
Matlamat yang terlalu besar
Ini bukan menjadi masalah sekiranya anda mempunyai impian atau matlamat besar seperti mahu menjadi jutawan. Cuma anda perlu bertanya dengan diri sendiri terlebih dahulu, pernahkah anda menjana wang RM500 sehari? RM1000 seminggu ? ataupun RM10,000 sebulan?
Sekiranya belum, apakah logiknya anda mahu menjana RM1 juta dalam masa sebulan?
Oleh itu, anda perlu melalui beberapa peringkat-peringkat untuk menuju ke matlamat utama anda. Mulakan dengan meletakkan matlamat kecil seperti menjana RM100 dari internet kemudian RM500 kemudian RM1000 dan seterusnya.
Kenapa?
Sebab dengan cara ini, anda tidak ‘memusnahkan’ terus semangat anda yang utama iaitu ingin untuk menjadi seorang jutawan. Anda dapat melihat perkembangan usaha anda sedikit demi sedikit dan inilah yang sebenarnya akan menaikkan lagi semangat anda untuk meningkatkan lagi usaha anda ke arah matlamat utama anda.
Anda perlu ingat. Tidak semua perkara yang anda lakukan terus menjadi. Ada seorang mentor saya berusaha hampir 7 tahun baru menjumpai ramuan sebenar cara menjana wang dari internet. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan, dan ini yang bakal menentukan cepat atau lambatnya proses kejayaan hadir dalam hidup anda.
Dalam setiap step yang anda lakukan mungkin mempunyai potensi untuk mengalami kegagalan sementara dan jika matlamat anda tidak terlalu tinggi pada waktu itu, kegagalan sementara anda tadi tidak melunturkan semangat anda untuk mencuba sekali lagi.
Kesimpulannya, anda perlu menjaga “bara” semangat anda untuk berjaya. Ini adalah asas kepada semua kejayaan yang anda lihat pada orang lain.
Saya tahu, walaupun cara ini memerlukan masa yang agak lama tetapi saya yakin pada satu peringkat nanti anda akan mengalami situasi di mana anda boleh melipat-gandakan pendapatan secara exponen. Insyallah.
Apa pendapat anda tentang artikel di atas?

